Putrajaya (19 August 2017) :   Imsak - 5:43 AM    Subuh - 5:53 AM    Syuruk - 7:10 AM    Zohor - 1:20 PM    Asar - 4:34 PM    Maghrib - 7:25 PM    Isyak - 8:36 PM
                                             


Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) ditubuhkan untuk menunaikan hasrat dan aspirasi umat Islam bagi mewujudkan sebuah institut pemikiran yang bebas khususnya dalam agenda memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu serta kedaulatan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Penubuhan IKSIM sebagai sebuah badan yang bernaung di bawah Majlis Raja-Raja serta bebas dari pengaruh politik kepartian. Pendekatan strategi ini amat tepat selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hasil kajian berkualiti dan dihormati demi memelihara kedaulatan Islam sebagai Agama Negara dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua-ketua Agama bagi negeri-negeri baginda masing-masing. IKSIM juga berperanan sebagi pemangkin bagi kemajuan ummah yang mampu menghadapi pelbagai cabaran semasa dan berkemampuan untuk menangani ancaman terhadap umat Islam secara berkesan.


'Daulatkan Islam Agama Negara'

Perkembangan mutakhir ini terhadap pengaruh pemikiran ekstrim di kalangan penduduk Malaysia semakin membimbangkan. Pemikiran ekstrim melahirkan satu persatu bentuk gerakan ekstrim dalam pelbagai cabang. Terdapat pecahan antara dua golongan manusia berdasarkan paksi sikap mereka terhadap jalan lurus dalam kehidupan dan beragama.

Kini telah muncul satu kumpulan kanan ekstrim yang mengambil sikap berlebihan dan melampau di dalam tindakan beragama mereka. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan kiri ekstrim yang mengambil sikap melonggarkan serta mencuaikan setiap aspek dalam tindakan beragama mereka. Melihat situasi ini, IKSIM akan menerajui langkah untuk melakukan Transformasi Pemikiran Rakyat Malaysia agar kedua-dua sisi ekstrim ini ditolak melalui pendekatan Wasatiyyah.

Ianya Dijalankan Melalui Rangka Kerja MyWasatiyyah: Jihad Mendaulatkan Islam, Mengekang Ekstremis Militan & Liberalisme


Sejarah Penubuhan IKSIM

Bagi menjamin Agama Islam terus berdaulat bersama-sama kedaulatan Raja-Raja Melayu, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, setelah diperkenan oleh Raja-Raja Melayu menerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang ke-225 telah bersepakat untuk menubuhkan IKSIM.

Penubuhan IKSIM adalah cetusan idea yang telah sekian lama disambut oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan akhirnya berjaya direalisasikan setelah diperbadankan secara rasmi pada 9 Disember 2014. IKSIM melangsungkan mesyuarat kali pertama Majlis Institut Kajian Strategik Islam Malaysia pada 10 Disember 2014.


Perlembagaan

Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan yang memartabatkan Agama Islam sebagai Agama Negara mengabsahkan kedaulatan agama Islam di persada warisan Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu. Diperkukuhkan dengan Sumpah Yang DiPertuan Agung, Ketua Tertinggi Persekutuan di hadapan Allah Rabul Jaleel dengan lafaz wallahi wabillahi watallahi untuk memelihara agama Islam pada semua masa.

Komitmen untuk memelihara agama Islam atas sifat kedudukannya sebagai Agama Negara adalah pada hakikatnya suatu baiah dan ikrar pematuhan kepada prinsip Maqasid Syariah yang pertama.